Please Click..Please..

Friday, 15 June 2012

Tarian Tradisi Kami (^_^)

Keunikan Tarian Mangunatip Tarian Suku Kaum Murut di Sabah

 
tarian Mangunatip ini mempunyai keunikannya yang tersendiri. Melalui nama tarian ini sudah menampakkan keunikan kerana mengekalkan identiti suku kaum Murut. Perkataan “Mangunatip” diambil dalam perkataan Bahasa Murut iaitu “apit” yang bermaksud “sepit” kerana tarian ini menggunakan buluh dan para penari memerlukan kepantasan dan kecekapan ketika menari.
Selain itu, tarian ini juga memerlukan buluh sebagai alat utama kerana tanpa buluh, tarian ini tidak akan berjaya. Batang buluh pula mestilah jenis yang sesuai dan melalui beberapa proses sebelum dijadikan sebagai alat tarian. Buluh tersebut akan ditebang mengikut saiz dan kepanjangan yang sesuai. Selepas itu, buluh tersebut akan dijemur supaya ringan dan tahan lama. Setelah kering, proses mengecat buluh akan bermula dan dilukis dengan corak-corak yang menarik. Biasanya ia dilukis bermotifkan bunga-bungaan dan tumbuh-tumbuhan.
Seterusnya, ketika tarian ini ditarikan kita dapat melihat gerakan badan, tangan dan kaki penari. Tarian yang lemah-gemalai dan memerlukan kepantasan kaki sangat menguja perasaan penonton. Tarian dimulakan dengan rentak perlahan dan lama-kelamaan, buluh akan diketuk dengan cepat dan para penari mengikut rentak bunyi buluh tersebut. Pada masa inilah kemuncak Tarian Mangunatip kerana para penari akan melalui buluh dengan cepat dalam tempoh beberapa minit sebelum mengakhiri tarian.
Di samping itu, pakaian yang dipakai oleh para penari menambahkan lagi keistimewaan tarian tradisi masyarakat Murut. Pakaian yang berwarna-warni dan dihias dengan manik-manik yang pelbagai jenis menambahkan lagi keayuan dan kesegakkan penari. Aksesori wanitanya pula begitu unik seperti “salupai” yang dipakai di kepala, pipirot” iaitu tali pinggang, gelang tangan dan kaki, rantai dan sebagainya. Manakala penari lelaki tidak terkecuali menjadi bahan tarikan penonton melalui pakaian yang diperbuat daripada kulit kayu dan “tupi sinulatan” yang dipakai di kepala. Senjata yang digunakan oleh penari lelaki iaitu parang dan perisai melambangkan sifat kepahlawanan kaum Murut dan mengingati pahlawan kaum ini iaitu Antanom yang terkenal dengan keberaniannya menentang penjajah.
Setiap gerakan dalam sesuatu tarian mempunyai maksud yang tersirat. Tarian Mangunatip juga mempunyai makna disebalik sesuatu gerakan. Tarian yang lemah-gemalai membawa maksud kesopanan wanita dan pihak lelaki sebagai pelindung kepada wanita dalam kehidupan. Hal ini dapat dilihat ketika penari lelaki memegang parang dan perisai sambil matanya liar berwaspada dan seolah-olah sedang bertarung dengan musuh. Ketika melalui buluh pula, penari lelaki dan wanita akan berpasang-pasangan sambil berpegangan tangan menari melalui buluh tersebut. Hal ini menerangkan kepada kita bahawa walau apa jua cabaran dan rintangan yang melanda, kedua-dua pasangan khasnya dalam institusi perkahwinan, kedua-dua pihak hendaklah berganding bahu menyelesaikan masalah dalam rumahtangga.

Pahlawan Kami

Pelopor pada pemberontakan Rundum 1915 ini tersohor di mana-mana dengan nama bapanya Antanom, bukan namanya sendiri, Ontoros.
Melalui tulisannya dalam Buku Cenderamata Lawatan  YAB Perdana menteri Malaysia Ke Daerah Tenom, Sabah, Datuk R.M. Jasni menulis:
‘Menurut tradisi orang-orang Inggeris, mereka lazimnya menyebut nama keluarga daripada nama peribadi. Orang yang memimpin pemberontakan Rundum itu ialah anaknya bernama Ontoros dan bukan Antanom bapanya. Disinilah berlakunya kekeliruan fakta. Bagaimanapun, oleh kerana nama Antanom sudah terkenal dan tercatat dalam sejarah tanahair, buku yang akan terbit mengenai pemberontakan itu mengekalkan nama Antanom itu sebagai Ontoros.’
Ontoros dilahirkan di kawasan ‘Masinpunon’ Sungai Salarom pada tahun 1885 dalam sebuah keluarga berkedudukan di kalangan suku Murut Tagol.  
Dia dibesarkan dalam zaman di mana persekitaran kampungnya dilanda oleh persengketaan kaum dan oleh ancaman pemburu kepala kaum Dayak dari kawasan perbatasan atau dikenali dengan istilah ” pengayau “.
Didikan yang diterimanya ialah mengenal kehidupan rimbanya dan bermain senjata. Jiwanya dibentuk agar menjadi seorang kalawon atau pahlawan dan semangat sedia berkorban telah disemai dalam hidupnya supaya bertanggungjawab melindungi keluarga dan kaumnya.
Selain ancaman ‘pengayau’, kaum Murut, seperti juga pribumi lain berhadapan dengan satu lagi musuh yang lebih nyata iaitu penjajah British, melalui Kompeni Inggeris yang menguasai Bumi Di Bawah Bayu ini.
Seperti di tempat-tempat lain yang dijajah oleh mereka, British memperalatkan anak-anak tempatan di Sabah bagi kepentingan ekonomi dan politiknya. Kaum Murut tidak terkecuali.
Kemarahan dan kegelisahan kaum Murut terhadap Kompeni Inggeris berpunca dari empat perkara utama. Hak mereka dicerobohi, bila ramai daripada pedagang hasil hutan dari luar dibenarkan mengutip hasil hutan di pedalaman. Mereka dijadikan buruh paksa membina jalan denai ( Jalan Kuda ) dan merentang kawat telegraf antara Tenom ke Rundum tanpa upah. Upah yang diberikan kepada mereka sekadar rokok tembakau sahaja. Mengenakan cukai kepala, padi dan tapai juga menyumbang kepada kemarahan mereka. Semuanya ini pada pandangan mereka adalah tidak wajar. Kehidupan mereka yang merdeka dan bebas di kawasan belantara luas itu telah terganggu.
Keadaan bertambah buruk lagi pada tahun 1910 apabila Kompeni Inggeris menghantar buat pertama kalinya seorang Pegawai Daerah Mazwell Hall, membuka setesen di Rundum, sebagai langkah menyekat kegiatan memburu kepala.
Ontoros Antanom yang memang berjiwa pahlawan sejak dari kecil itu tidak sanggup melihat bangsanya ditindas berterusan. Sebab itu, walaupun pada waktu itu kaum Murut hidup berpecah-belah dia berusaha menyatukan mereka.
Pada bulan Jun 1914, Antanom memulakan penentangannya dengan disertai oleh sekumpulan pengikut. Bagaimanapun gerakan itu berjaya dipatahkan oleh British.
Tanpa mengenal putus asa, Antanom terus berusaha memperkuatkan pasukannya. Hasil kesungguhan itu dia  berjaya mengumpulkan lebih 900 orang Murut dari beberapa kawasan seperti Tenom, Pensiangan dan Keningau. Mereka membina kubu di beberapa tempat dengan kubu utamanya di Selangit.
Pada bulan Februari 1915, Antanom memimpin orang-orangnya menyerang Pejabat Daerah Rundum dan Pensiangan. Mereka mencapai kejayaan dalam serangan itu. Pihak British tewas dan terpaksa meminta bantuan.
Dua bulan kemudian iaitu pada bulan April 1915 kubu Antanom di Selangit digempur oleh pihak British. Antanom dan orang-orangnya bertahan bermati-matian. Walaupun British gagal menawan kubu itu, namun Antanom dan kira-kira 400 pengikutnya gugur dalam pertempuran tersebut. Dia dipercayai terkorban akibat diperdaya supaya bersetuju dengan gencatan senjata dan berdamai, tetapi kesediaannya berunding itu digunakan oleh  mata-mata upahan Inggeris untuk memenggal kepalanya.

Murut Bah Ini

Kaum Murut menetap di pedalaman dan kawasan tenggara Sabah serta wilayah perbatasan antara Kalimantan dan Sarawak. Suku kaum Murut adalah suku kaum ketiga terbesar di Sabah.
Tempat tinggal mereka termasuk Tenom, Kemabong, Pensiangan dan Keningau. Dahulu mereka tinggal di dalam rumah panjang dan hidup harmoni dalam keluarga besar. Kebanyakan mereka adalah petani berpindah, pemburu dan penangkap ikan sungai. Mereka juga mejalankan pemungutan hasil hutan(damar, rotan dan madu lebah).Pada masa kini kaum murut sudah ada yang berkhidmat dalam sektor awam dalam bidang pendidikan, kesihatan dan pertahanan.
Perkataan ‘Murut’ merujuk kepada kumpulan penduduk yang tinggal di lereng bukit atau tanah tinggi di Pedalaman Sabah. Murut terdapat di beberapa kawasan seperti Keningau, Tenom, Pensiangan, Sipitang, Kalabakan dan Kinabatangan. Kaum Murut terbahagi kepada Murut Tahol atau Tagal, Tidung, Timugon, Sembakung, Paluan, Bookan, Kalabakan,dan Murut Serundung. Dimana kaum Murut mewakili sebanyak 2.9% daripada penduduk di Sabah iaitu lebih kurang 50,000 orang. Suku kaum Murut juga terdapat di Brunei, Sarawak dan sempadan Kalimantan. Kaum Murut mempunyai bahasa tersendiri yang berbeza dengan suku kaum Murut yang lain. Ini disebabkan faktor geografi sebagai penghalang dalam komunikasi bahasa mereka.
Secara uniknya, kaum Murut tinggal di rumah panjang yang berhampiran dengan kawasan sungai atau membuat penempatan sepanjang sungai. Mereka tinggal di dalam rumah panjang yang menempatkan 10 hingga 20 keluarga. Tetapi terdapat juga kaum Murut yang tinggal dan membina penempatan secara individu di sepanjang sungai. Suku kaum Murut pakar dalam membuat perahu dan menurunkan kepakaran mereka kepada generasi seterusnya. Selain itu kaum Murut pakar dalam berburu dan masih mengamalkan tradisi bertatu seperti kaum Iban di Sarawak tetapi tradisi ini semakin kurang di lakukan oleh generasi muda suku kaum ini.
Kaum Murut juga menyambut perayaan seperti Hari Raya, Hari Krismas, Tahun Baru, Majlis harijadi, pengembumian dan Pesta Kalimaran dan lain-lain. Pesta Kalimaran ialah pesta sama seperti kaum kadazan-Dusun yang menyambut pesta Kaamatan. Ia di sambut selepas mereka menuai padi. Kaum Murut masa kini, telah mengalami proses kemodenan dan ramai yang berkerja sebagai kakitangan kerajaan dan bukan kerajaan. Mereka juga tinggal di bandar-bandar besar dan mempunyai pekerjaan profsional. Namun demikian, Kaum Murut ini masih lagi mengamalkan adat istiadat yang diamalkan oleh nenek moyang mereka sebagai adat turun temurun yang mempunyai nilai estetika tinggi dalam kehidupan.[1]