Keunikan Tarian Mangunatip Tarian Suku Kaum Murut di Sabah
tarian Mangunatip ini mempunyai keunikannya yang tersendiri. Melalui
nama tarian ini sudah menampakkan keunikan kerana mengekalkan identiti
suku kaum Murut. Perkataan “Mangunatip” diambil dalam perkataan Bahasa
Murut iaitu “apit” yang bermaksud “sepit” kerana
tarian ini menggunakan buluh dan para penari memerlukan kepantasan dan
kecekapan ketika menari.
Selain
itu, tarian ini juga memerlukan buluh sebagai alat utama kerana tanpa
buluh, tarian ini tidak akan berjaya. Batang buluh pula mestilah jenis
yang sesuai dan melalui beberapa proses sebelum
dijadikan sebagai alat tarian. Buluh tersebut akan ditebang mengikut
saiz dan kepanjangan yang sesuai. Selepas itu, buluh tersebut akan
dijemur supaya ringan dan tahan lama. Setelah kering, proses mengecat
buluh akan bermula dan dilukis dengan corak-corak yang menarik. Biasanya
ia dilukis bermotifkan bunga-bungaan dan tumbuh-tumbuhan.
Seterusnya, ketika tarian
ini ditarikan kita dapat melihat gerakan badan, tangan dan kaki penari.
Tarian yang lemah-gemalai dan memerlukan kepantasan kaki sangat menguja
perasaan penonton. Tarian dimulakan dengan rentak perlahan dan
lama-kelamaan, buluh akan diketuk dengan cepat dan para penari mengikut
rentak bunyi buluh tersebut. Pada masa inilah kemuncak Tarian Mangunatip
kerana para penari akan melalui buluh dengan cepat dalam tempoh
beberapa minit sebelum mengakhiri tarian.
Di
samping itu, pakaian yang dipakai oleh para penari menambahkan lagi
keistimewaan tarian tradisi masyarakat Murut. Pakaian yang
berwarna-warni dan dihias dengan manik-manik yang pelbagai jenis
menambahkan lagi keayuan dan kesegakkan penari. Aksesori wanitanya pula
begitu unik seperti “salupai” yang dipakai di kepala, “pipirot”
iaitu tali pinggang, gelang tangan dan kaki, rantai dan sebagainya.
Manakala penari lelaki tidak terkecuali menjadi bahan tarikan penonton
melalui pakaian yang diperbuat daripada kulit kayu dan “tupi sinulatan”
yang dipakai di kepala. Senjata yang digunakan oleh penari lelaki iaitu
parang dan perisai melambangkan sifat kepahlawanan kaum Murut dan
mengingati pahlawan kaum ini iaitu Antanom yang terkenal dengan
keberaniannya menentang penjajah.
Setiap
gerakan dalam sesuatu tarian mempunyai maksud yang tersirat. Tarian
Mangunatip juga mempunyai makna disebalik sesuatu gerakan. Tarian
yang lemah-gemalai membawa maksud kesopanan wanita dan pihak lelaki
sebagai pelindung kepada wanita dalam kehidupan. Hal ini dapat dilihat
ketika penari lelaki memegang parang dan perisai sambil matanya liar
berwaspada dan seolah-olah sedang bertarung dengan musuh. Ketika melalui
buluh pula, penari lelaki dan wanita akan berpasang-pasangan sambil
berpegangan tangan menari melalui buluh tersebut. Hal ini menerangkan
kepada kita bahawa walau apa jua cabaran dan rintangan yang melanda,
kedua-dua pasangan khasnya dalam institusi perkahwinan, kedua-dua pihak
hendaklah berganding bahu menyelesaikan masalah dalam rumahtangga.
No comments:
Post a Comment