Please Click..Please..

Friday, 15 June 2012

Pahlawan Kami

Pelopor pada pemberontakan Rundum 1915 ini tersohor di mana-mana dengan nama bapanya Antanom, bukan namanya sendiri, Ontoros.
Melalui tulisannya dalam Buku Cenderamata Lawatan  YAB Perdana menteri Malaysia Ke Daerah Tenom, Sabah, Datuk R.M. Jasni menulis:
‘Menurut tradisi orang-orang Inggeris, mereka lazimnya menyebut nama keluarga daripada nama peribadi. Orang yang memimpin pemberontakan Rundum itu ialah anaknya bernama Ontoros dan bukan Antanom bapanya. Disinilah berlakunya kekeliruan fakta. Bagaimanapun, oleh kerana nama Antanom sudah terkenal dan tercatat dalam sejarah tanahair, buku yang akan terbit mengenai pemberontakan itu mengekalkan nama Antanom itu sebagai Ontoros.’
Ontoros dilahirkan di kawasan ‘Masinpunon’ Sungai Salarom pada tahun 1885 dalam sebuah keluarga berkedudukan di kalangan suku Murut Tagol.  
Dia dibesarkan dalam zaman di mana persekitaran kampungnya dilanda oleh persengketaan kaum dan oleh ancaman pemburu kepala kaum Dayak dari kawasan perbatasan atau dikenali dengan istilah ” pengayau “.
Didikan yang diterimanya ialah mengenal kehidupan rimbanya dan bermain senjata. Jiwanya dibentuk agar menjadi seorang kalawon atau pahlawan dan semangat sedia berkorban telah disemai dalam hidupnya supaya bertanggungjawab melindungi keluarga dan kaumnya.
Selain ancaman ‘pengayau’, kaum Murut, seperti juga pribumi lain berhadapan dengan satu lagi musuh yang lebih nyata iaitu penjajah British, melalui Kompeni Inggeris yang menguasai Bumi Di Bawah Bayu ini.
Seperti di tempat-tempat lain yang dijajah oleh mereka, British memperalatkan anak-anak tempatan di Sabah bagi kepentingan ekonomi dan politiknya. Kaum Murut tidak terkecuali.
Kemarahan dan kegelisahan kaum Murut terhadap Kompeni Inggeris berpunca dari empat perkara utama. Hak mereka dicerobohi, bila ramai daripada pedagang hasil hutan dari luar dibenarkan mengutip hasil hutan di pedalaman. Mereka dijadikan buruh paksa membina jalan denai ( Jalan Kuda ) dan merentang kawat telegraf antara Tenom ke Rundum tanpa upah. Upah yang diberikan kepada mereka sekadar rokok tembakau sahaja. Mengenakan cukai kepala, padi dan tapai juga menyumbang kepada kemarahan mereka. Semuanya ini pada pandangan mereka adalah tidak wajar. Kehidupan mereka yang merdeka dan bebas di kawasan belantara luas itu telah terganggu.
Keadaan bertambah buruk lagi pada tahun 1910 apabila Kompeni Inggeris menghantar buat pertama kalinya seorang Pegawai Daerah Mazwell Hall, membuka setesen di Rundum, sebagai langkah menyekat kegiatan memburu kepala.
Ontoros Antanom yang memang berjiwa pahlawan sejak dari kecil itu tidak sanggup melihat bangsanya ditindas berterusan. Sebab itu, walaupun pada waktu itu kaum Murut hidup berpecah-belah dia berusaha menyatukan mereka.
Pada bulan Jun 1914, Antanom memulakan penentangannya dengan disertai oleh sekumpulan pengikut. Bagaimanapun gerakan itu berjaya dipatahkan oleh British.
Tanpa mengenal putus asa, Antanom terus berusaha memperkuatkan pasukannya. Hasil kesungguhan itu dia  berjaya mengumpulkan lebih 900 orang Murut dari beberapa kawasan seperti Tenom, Pensiangan dan Keningau. Mereka membina kubu di beberapa tempat dengan kubu utamanya di Selangit.
Pada bulan Februari 1915, Antanom memimpin orang-orangnya menyerang Pejabat Daerah Rundum dan Pensiangan. Mereka mencapai kejayaan dalam serangan itu. Pihak British tewas dan terpaksa meminta bantuan.
Dua bulan kemudian iaitu pada bulan April 1915 kubu Antanom di Selangit digempur oleh pihak British. Antanom dan orang-orangnya bertahan bermati-matian. Walaupun British gagal menawan kubu itu, namun Antanom dan kira-kira 400 pengikutnya gugur dalam pertempuran tersebut. Dia dipercayai terkorban akibat diperdaya supaya bersetuju dengan gencatan senjata dan berdamai, tetapi kesediaannya berunding itu digunakan oleh  mata-mata upahan Inggeris untuk memenggal kepalanya.

1 comment:

  1. Hard Rock Hotel & Casino Reno - MapYRO
    Find the cheapest and quickest way to get from Hard Rock Hotel & Casino Reno 경상남도 출장샵 to Hard Rock Hotel & Casino 동두천 출장마사지 at Hard 상주 출장마사지 Rock 광명 출장안마 Hotel & Casino at 777 Casino Dr, 대전광역 출장안마 Reno, NV.

    ReplyDelete